Jan 15, 2021 - FASSikh Izhan Nazrel Sikh Azman (Sikh Izhan) atau lebih mesra dengan panggilan Koyen dalam pasukan merupakan penjaga gawang muda Selangor 2 yang telah diberikan kepercayaan untuk mengisi slot penjaga gol pasukan utama Red Giants musim 2021.
Sikh Izhan mula aktif dalam sukan bola sepak pada usia lima tahun selepas menyertai kelab Bintang Biru dari tahun 2007 hingga 2012. Beliau pada asalnya diletakkan diposisi bek tengah kemudian digilap untuk bermain diposisi penyerang sepanjang bersama pasukan.
Dengan fizikal yang dimilikinya, beliau diserapkan ke skuad Projek 2019 (di bawah seliaan Program Pembangunan Bolasepak Negara) dan berlatih sebagai penjaga gol selepas menawan hati jurulatih penjaga gol pasukan Belia Red Giants 2021, Lim Chuan Chin semasa bermain dalam satu kejohanan di Kelab DiRaja Selangor semasa berusia 10 tahun.
Pemain kelahiran Pulau Pinang ini menyertai kejohanan besar sulungnya, Piala SuperMokh pada usia 12 tahun bersama skuad Projek 2019. Beliau kemudian dimasukkan ke Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) selama setahun setelah mempamerkan aksi yang cemerlang dalam kejohanan tersebut.
Menjadi generasi pertama dan graduan Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (PPBN) atau sekarang dikenali sebagai Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), beliau dan rakan pasukan sering berulang-alik antara Gambang dan Bukit Jalil untuk bersekolah sehinggalah pusat latihan AMD mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2014.
Pemain yang berketinggian 180cm ini mula mencatat namanya dalam pasukan Malaysia B-16 pada tahun 2015 sebagai pemain utama gawang gol pasukan. Beliau juga merupakan antara tonggak utama pasukan yang berjaya menjulang Piala Iber 2015 di Sepanyol dan Piala SuperMokh 2016.
Selain itu, beliau turut dianugerahkan Penjaga Gol Terbaik dan disenaraikan dalam Kesebelasan Utama Terbaik kejohanan Piala Elite 2016 di Perancis.
Tahun-tahun berikutnya, Sikh Izhan turut dipanggil mewakili pasukan Kebangsaan B-18 dan B-19 selepas beraksi dengan cemerlang bersama skuad B-16. Beliau telah bermain dalam lima perlawanan dan mencatat dua ‘clean sheet’ ketika menentang pasukan Kemboja sewaktu kejohanan ASEAN Football Federation (AFF) B-18, Brunei untuk pusingan kelayakan AFC B-19.
Pada usia 18 tahun, karier bola sepak profesionalnya bermula apabila beliau menandatangani kontrak bersama pasukan Selangor dengan menyertai pasukan Selangor 2 selepas perlawanan tiga penjuru diadakan pada bulan Disember 2019.
Beliau sekali lagi bertemu dengan individu yang telah membuka jalan kepadanya menyertai skuad AMD, Coach Lim yang menjadi jurulatih penjaga gol untuk pasukan Selangor 2 pada tahun lalu. Sikh Izhan sempat bermain dalam empat perlawanan Liga Premier dan mencatat satu ‘clean sheet’ semasa menentang Sarawak United di Stadium Cheras, Kuala Lumpur, sebelum diketepikan seketika ekoran kecederaan.
"Coach Lim telah memberikan peluang yang baik untuk saya dari akar umbi (AMD) sehinggalah tahap bola sepak profesional. Beliau banyak membantu saya dalam menguasai teknik asas menjadi penjaga gol yang baik. Saya berterima kasih kepada dia," tegas Sikh Izhan.
"Saya bersyukur dengan rezeki yang diberikan dan ini juga berkat doa daripada keluarga. Saya melihat musim ini sebagai musim yang mencabar kerana saya perlu bersaing dengan dua penjaga gol berpengalaman dalam Liga Super Malaysia. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mempelajari ilmu sebanyak mungkin daripada mereka dan barisan jurulatih," kata penjaga gol muda Selangor FC ini.
"Saya akan berikan persaingan yang sihat bagi mendapat peluang bermain dalam kejohanan Liga Super. Ini akan menjadi pembakar semangat untuk diri saya," tambahnya menamatkan temu bual bersama Media Selangor FC.
Selangor FC mendoakan kejayaan Sikh Izhan untuk musim 2021 bersama pasukan utama Selangor dan semoga beliau terus mempamerkan aksi yang cemerlang dalam kancah bola sepak Malaysia.
Semoga berjaya, Koyen!